UMPSA Business Forum 2025 dan Postgraduate Luncheon Raikan Kepimpinan, Inovasi dan Kecemerlangan Akademik
Kuantan, 6 November 2025 – Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan UMPSA Business Forum 2025 dan UMPSA Postgraduate Luncheon bertempat di Swiss-Belhotel Kuantan. Majlis gilang-gemilang ini telah disertai oleh 121 orang peserta yang terdiri daripada pemain industri dan warga UMPSA. Program ini telah disempurnakan oleh Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMPSA yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan pembukaan.

Forum perniagaan tahun ini mengetengahkan tema “Agile Management in the Digital Age: Leading with Adaptability and Innovation”, yang membincangkan kepentingan pengurusan tangkas dalam era pendigitalan yang pesat. Sesi forum menampilkan barisan panel tersohor industri iaitu Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Berhad; Dato’ Shahrul Nizam Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tanah Makmur Berhad; serta Ts. Norhizam Ibrahim, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Pembuatan: Bukan Sumber) merangkap Ketua Pegawai Digital di MIDA. Sesi forum dikendalikan oleh Assoc. Prof. Ts. Dr. Muhammad Ashraf Bin Fauzi selaku moderator.


Perbincangan interaktif ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai strategi kepimpinan berdaya tahan serta pendekatan inovatif dalam menghadapi cabaran global perniagaan digital. Sesi soal jawab turut mendapat sambutan hangat daripada para peserta yang terdiri daripada pelajar pascasiswazah, akademia dan wakil industri.


Usai forum, majlis diteruskan dengan Postgraduate Luncheon yang menjadi simbol penghargaan kepada para pelajar pascasiswazah yang bakal menamatkan pengajian. Dalam ucapannya, Dr. Mohd Hanafiah bin Ahmad, Dekan Fakulti Pengurusan Industri, menzahirkan rasa bangga atas pencapaian para graduan dan menegaskan komitmen fakulti dalam melahirkan pemimpin industri yang berpengetahuan tinggi, beretika serta berdaya saing global.
Majlis turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah berprestij sebagai tanda pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik dan kepimpinan pelajar. Antara penerima anugerah ialah Muhammad Azizul Hikmi Bin Fouzi (Shining Star Award 2025 – MBA), Nur Arissa Asfiera Binti Shamsul Fadhli (Shining Star Award 2025 – MPM), Rozilawati Binti Yusof (Outstanding Award 2025 – MBA), Tengku Muhammad Qusyairi Bin Tengku Amran (Outstanding Award 2025 – MPM), serta Raja Ezra Bin Raja Kechik (CEO Award 2025). Penyampaian anugerah disempurnakan oleh barisan panel industri yang turut hadir.



Majlis diserikan lagi dengan persembahan tarian, sesi cabutan bertuah serta sesi fotografi bersama tetamu kehormat. Penganjuran program ini bukan sahaja memperkukuh jaringan industri-akademia, malah menjadi platform strategik dalam memupuk budaya ilmu, inovasi serta kepimpinan yang dinamik dalam kalangan warga UMPSA.

Disediakan oleh,
Dr Nazrolnizah Binti Mohamad Noorzeli,
Unit Media & Komunikasi, Fakulti Pengurusan Industri (FIM)
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)