UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG AL-SULTAN ABDULLAH (UMPSA) telah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M dengan penuh meriah dan penuh rasa kesyukuran sebagai salah satu usaha memupuk kecintaan warga universiti terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Program yang berlangsung di Kampus Pekan itu menghimpunkan pelbagai lapisan warga UMPSA termasuk kepimpinan universiti, staf akademik dan pentadbiran, mahasiswa serta komuniti setempat. Sambutan dimulakan dengan perarakan Maulidur Rasul yang diiringi laungan selawat, diikuti dengan bacaan doa serta sesi ceramah.
Timbalan Naib Canselor Akademik, LT. KOL. PROF. DATO' IR. TS. DR. AHMAD ZIAD BIN SULAIMAN, dalam ucapan perasmiannya menekankan bahawa sambutan ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform untuk meneladani keperibadian Rasulullah SAW yang berteraskan akhlak mulia, kepimpinan berwawasan dan kasih sayang sejagat. Beliau turut mengajak warga UMPSA untuk menjadikan sirah nabawi sebagai panduan dalam membentuk kecemerlangan diri, organisasi, dan masyarakat.
Kemuncak sambutan menyaksikan ceramah perdana Maulidur Rasul disampaikan oleh penceramah jemputan, YBhg Ustaz Harranto Rizal Rokman, yang menekankan tema sambutan tahun ini, "Membangun Ummah Madani". Ceramah tersebut memberi penekanan kepada aspek persaudaraan, toleransi dan integriti dalam kehidupan seharian, selari dengan aspirasi universiti dalam membentuk graduan holistik dan berakhlak mulia.
Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk perarakan dari setiap jabatan, cabutan bertuah, dan ceramah mengenai sejarah Islam dan perjuangan Rasulullah SAW. Sambutan Maulidur Rasul UMPSA 1447H/2025M ini berjaya memperkukuh ukhuwah warga universiti sambil memperingatkan kembali peranan besar Rasulullah SAW sebagai suri teladan terbaik untuk seluruh umat manusia.